Tuesday, October 28, 2008

Harapan..



Di sebuah klinik, kelihatan seorang pesakit telah diperiksa oleh seorang doktor. Ketika selesai segala maklumat terperinci diberikan doktor itu kepada pesakitnya, mata si pesakit sedikit bergenang. Ada perasaan terkilan, sedih , gusar segalanya bercampur baur. Doktor sedari tadi, hanya memerhati dan menunggu respon dari pesakitnya yang sudah sekian lama dirawatnya.

Setelah beberapa minit, perasaan si pesakit sudah mulai tenteram, dia mula mendongakkan kepalanya dan melihat doktornya sambil cuba menyusun ayat.

“doktor, mungkin ini bukan berkaitan dengan sakit yang saya lalui. sekadar mahu bertanya, mengapa dalam dunia ni, kadang-kadang kita rasa punya ramai teman, ramai kawan juga sahabat, tetapi mengapa tika kita sakit, seolah-olah kita hanya bersendirian, orang yang kita rasa paling rapat terkadang mengecewakan kita. Saya kadang rasa macam tiada siapa memahami saya. Seolah saya yang bersalah. Perit doktor, perit jiwa saya menanggung. Bilakah sakit saya ni boleh sembuh agar tiada lagi orang menyalahkan saya?” keluhan berat dari jiwa pesakit menunjukkan kegalauan hatinya, resah gelisah sedih.

Doktor cuba memahami keadaan pesakitnya. Dia tahu, ujian paling berat bagi seorang pesakit bukanlah sakit yang ditanggungnya,sakitnya boleh terus dilalui selagi mana ada orang yang terus menyokongnya. Terus bersamanya. tetapi jika sakit yang ditanggung hanya ditanggung seorang tanpa teman yang memahami, itu lebih perit. Doktor seolah hilang kata-kata. Dilihat wajah pesakitnya dengan perasaan kasihan dan simpati, cuba mencari-cari kata-kata yang boleh meningkatkan kembali harapan si pesakit.

“kak, masa ni merupakan masa paling berharga bagi akak. Saya tidak tahu mahu bagaimana berkata. Bagi saya, masa ni Allah sedang menguji kita. Dia mahu kita sedar bahawa tempat pergantungan kita hanya padaNYA. Mungkin ketika kita sihat, kita merasa bahawa teman-teman disekeliling adalah segalanya bagi kita. Allah sedang mahu kembalikan kita padaNYA.

Dia mahu kita betul-betul serah segala pergantungan padanya. Kak, teruskanlah bersabar, insyaallah, satu masa nanti, bila hati kita bulat betul pada Allah, Allah akan beri apa yang sepatutnya pada kita. Ketika ini, dekatkan lagi diri kita pada Allah, apa yang akak buat, ingat Allah sentiasa ada bersama. Allah sahaja harapan kita kak selain dari usaha kita. Dia tempat mengadu, dia tempat kita menyeru, Dia yang Memberi dan dia juga mengambil kembali. Maaf kak, saya tidak tahu mahu kata apa selain ini.”

Si pesakit merasa terpujuk dengan kata-kata doktornya. Memang harga yang terlalu mahal baginya sakit ini, hanya kerana Allah mahu dia kembali padanya. Sungguh dia merasa ianya satu titik pulang pada Allah.

‘takpe takpe doktor.. mungkin salah saya sendiri, hanya mencari manusia untuk meluahkan apa yang terbuku. mungkin sudah tiba masa saya terus menerus lebih banyak mengadu pada Allah , mudah-mudahan hati saya lebih terpujuk.’ sayu suara si pesakit meluahkan apa yang dirasainya.

No comments: